Wednesday, November 2, 2016

*Kenyataan Media AMK Selangor*

Angkatan Muda Keadilan Selangor menempelak Pemuda BN yang bersikap biadap di hadapan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada pagi 1 November 2016. Tindakan pemuda BN diketuai UMNO “naik minyak” menggegarkan pintu pagar, membuat bising dan membaling baldi ke dalam kawasan Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor amat tidak bertamadun persis gerombolan barbarian.

AMK Selangor membidas kejahilan pemuda BN dalam memahami kronologi. Pada 22 September, bahan cemar telah dikesan di Semenyih. Respon segera YAB Dato' Menteri Besar Selangor turun padang melihat sendiri lokasi pencemaran yang terletak di sebuah premis haram di Sg Lalang, Semenyih. Manakala pada 7 Oktober, benzyl alcohol dikenalpasti mengalir dari Sungai Semantan, Pahang menuju ke Selangor. Tidak cukup itu, berlaku lagi pencemaran pada 23 Oktober berpunca dari aliran di Nilai, Negeri Sembilan. Bekalan air terpaksa ditutup serta merta kerana dibimbangi air tercemar dibekalkan kepada pengguna.

Untuk makluman, tindakan pantas kerajaan Negeri Selangor bersama agensi terlibat telah diambil sejak hari pertama kejadian dengan menggerakkan lori-lori tangki air ke kawasan terjejas. Penguatkuasaan turut dilakukan dengan menutup premis yang didapati melakukan pencemaran termasuk merampas tanah seperti termaktub dalam Kanun Tanah Negara. Pemantauan 24 jam dilakukan di lembangan sungai-sungai di Selangor sebagai langkah pencegahan.

AMK Selangor tidak menolak bahawa 7 kejadian pencemaran air dan henti tugas berlaku dalam sebulan adalah perbuatan sabotaj. Sampel yang diambil dari lokasi-lokasi terbabit menunjukkan ianya bukan satu kemalangan. Kami optimis pihak berkuasa segera menyiasat dan mendakwa mereka yang bertanggungjawab.

Kerajaan Negeri Selangor juga telah berbincang dengan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar serta bersetuju menubuhkan pasukan petugas bersama bagi mengelakkan sebarang kekeliruan serta memastikan isu pencemaran air ini dapat ditangani.

Akhir sekali, AMK Selangor ingin bertanya kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, adakah ini cara kepimpinan legasi UMNO Selangor? Jika benar, tidak hairanlah celaru sedemikian.

Afzainizam Rahman
Ketua AMK Selangor
Ahli Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan

No comments:

Semak Waktu Solat Dan Marilah Sembahyang..

Prayer Times For 6 Million Cities Worldwide
Country: