Kes Talam memang nampaknya mengelirukan. Walaubagaimanapun, dengan sedikit sebanyak kesabaran dan huraian yang jelas, kes ini sebenarnya mudah difahami.
Artikel ini akan membincangkan asal-usul kes ini, bagaimana Selangor berjaya mengutip semula hutang Talam serta bagaimana kes ini berbeza dengan kes-kes ‘bailout’ yang dilihat pada peringkat persekutuan.
Latar belakang
Cerita ini bermula dalam tahun lapan puluhan dan sembilan puluhan, dengan seorang jurutera bernama Chan Ah Chye yang bekerja di syarikat milik kerajaan Selangor, PKNS. Chan mengasaskan Talam Corporation, dan mungkin hasil hubungan rapat dengan pemimpin-pemimpin tertentu seperti Menteri Besar waktu itu
Muhammad Muhammad Taib , berjaya menjadi antara pemaju-pemaju utama di Selangor.
Banyak tanah di Selangor diperuntukkan ke Talam secara percuma! Tanah ini dicagarkan kepada bank untuk mendapatkan pinjaman-pinjaman besar yang membiayai projek-projek Talam.
Pembaca boleh teka sendiri siapa yang dapat berkongsi untung dari projek-projek ini.
Tauke-tauke zaman itu sentiasa berpendirian bahawa berniaga dengan wang yang dipinjamkan adalah lebih baik daripada menggunakan wang sendiri. Oleh itu, pinjaman-pinjaman Talam dari bank terus meningkat.
Krisis ekonomi, projek terbengkalai!
Akhirnya, krisis ekonomi sekitar tahun 1997 melanda Talam. Akibat tidak berupaya untuk membayar balik pinjaman-pinjaman besar, kedudukan kewangan Talam semakin merosot dan projek-projek semakin terbengkalai.
Malangnya, Talam dan sekutu-sekutu politiknya gagal insaf atau bertaubat. Pada 2001, di bawah Menteri Besar BN Khir Toyo, tiga bidang tanah diperuntukkan kepada anak syarikat Talam Maxisegar Sdn Bhd sebagai pembiayaan pembinaan kampus induk UNISEL dengan kos pembinaan RM 750
juta!
Projek ini akhirnya turut terbengkalai dan pada September 2006, Talam diklasifikasikan sebagai “Affected Company”menurut amalan Practice Note 17 (PN 17) akibat kedudukan kewangannya yang parah.
Reformasi di Selangor
Pada 2008, apabila Khalid Ibrahim menyandang jawatan Menteri Besar, beliau mewarisi masalah ini di mana Talam berhutang besar kepada kerajaan negeri serta anak-anak syarikatnya.
Ada cerita bahawa apabila Talam diminta menjelaskan kenapa mereka tidak pernah memulakan proses membayar balik hutang, jawapan malu-malu mereka adalah: “Tiada sesiapa yang pernah minta.”
Untungnya untuk rakyat Selangor, wujudnya Menteri Besar yang baru. Khalid Ibrahim bukan setakan berpengalaman kuat tetapi memang pakar dalam bidang kewangan korporat. Beliau memulakan usaha dengan segera untuk menyelesaikan masalah ini dan mengutip balik hutang Talam kepada
rakyat Selangor.
Rancangan yang akhirnya dipilih berasaskan prinsip yang mudah: menggunakan aset-aset Talam yang masih ada untuk menjelaskan hutang tersebut.
Meneliti pengstrukturan semula
Proses kutipan hutang memang rumit dari segi teknikal.
Rumusannya: Pertama, hutang Talam disahkan dan direkod dalam akaun (sesuatu yang tidak dibuat sebelum 2008).Selepas disahkan semua pihak, hutang ini dipindahkan kepada Menteri Besar Incorporated (MBI) yang akhirnya bertanggungjawab mengutip hutang dalam bentuk tanah dan wang tunai.
Bahagian seterusnya menjelaskan proses secara terperinci.
Walaupun rumit dan mungkin membosankan, proses disenaraikan untuk sesiapa yang ingin tahu dan untuk menegakkan nilai-nilai ketelusan.
- Talam berhutang RM 392 juta kepada tiga anak syarikat Selangor: KHSB, PIYSB, dan PNSB.
- Setelah hutang ini dipersetujui, disahkan dan direkodkan, satu lagi anak syarikat Selangor,Selangor Industrial Corporation (SIC), membeli hutang tersebut daripada tiga syarikat itu.
- SIC mengambil pinjaman RM 392 juta dari CIMB untuk membeli hutang tersebut.
- Pada November 2009, Exco Negeri serta Dewan Negeri meluluskan geran RM 392 juta kepada MBI yang menggunakan dana tersebut untuk membeli dan mengambilalih hutang -hutang dari SIC.
- SIC kemudiannya mengguna dana tersebut untuk membayar balik pinjaman
daripada CIMB.
Proses rumit, objektif mudah - tanpa sebarang perbelanjaan tinggi, Talam kini berhutang jumlah yang sama kepada satu sahaja anak syarikat Selangor, bukan lagi tiga yang asal.
Hutang dijelaskan sepenuhnya
Kita harus memerhatikan bahawa tidak wujud pada bila-bila masa atau mana-mana peringkat transaksi sebarang pemindahan dana kerajaan kepada Talam. Pemindahan dana hanya berlaku dari satu saku kerajaan negeri kepada saku yang lain.
Ini adalah perbezaan yang amat ketara berbanding syarikat-syarikat seperti Indah Water Konsortium, MAS, atau Putra/Star LRT, di mana duit rakyat dimasukkan terus ke dalam syarikat-syarikat yang kelihatan hilang beratusan juta ringgit melalui penyalahgunaan kuasa, rasuah dan ketirisan.
Pengstrukturan semula hutang Talam berjaya mengesahkan hutang Talam dan membuka jalan untuk Talam membayar balik hutang tersebut ke satu sahaja anak syarikat negeri.
Ceritanya masih belum habis.
Satu lagi pencapaian yang amat penting adalah bahawa MBI telah pun berjaya kutip semula jumlah sepenuhnya hutang Talam, iaitu RM 392 juta.
Kepada sesiapa yang ingin tahu, kutipan ini wujud dalam 2 bentuk:
1. RM 340.88 juta dikutip dalam bentuk tanah dan aset:
- 1,322.44 ekar tanah di Bukit Beruntung (RM 150.28 juta)
- 2,263.53 ekar tanah di Bestari Jaya (RM 105.30 juta)
- 400
ekar tanah di Ulu Yam & 60% saham di
Ulu Yam
Golf & Country Resort
(RM 22.20 juta) - 134.2 ekar tanah di Danau Putra (RM 52.10 juta)
- 5-unit pejabat di Menara Pandan (RM 11.10 juta)
- Jualan 2 ekar tanah di Puncak Jalil (RM 12 juta)
- Penyerahan tunai dari EON (RM 5 juta)
- Baki bayaran kerjatanah (earthwork) dari UNISEL (RM 7.68 juta)
- Jualan 25.94 ekar tanah Bkt Beruntung kpd. PKNS (RM 9.04 juta)
- Jualan 218 ekar tanah Bestari Jaya (RM 17.4 juta)
Apakah yang kita boleh rumuskan?
Lebih satu dekad bawah BN, satu syarikat berhutang ratusan juta kepada kerajaan negeri Selangor.
Dalam setahun dua sahaja mentadbir di Selangor, Khalid berjaya kutip semula hutang ini, dan meningkatkan dana yang boleh dibelanja untuk membiayai program-program kebajikan di seluruh Selangor.
Skandal?
Ya, skandalnya adalah cara Talam dibiarkan sahaja dan tidak diminta pun untuk bayar balik hutang ini bawah BN, dan skandalnya adalah kita terpaksa tunggu 50 tahun sebelum mengangkat pemimpin yang berupaya mereformasikan amalan-amalan kotor ini.
Chua Tee Yong pun semakin ketandusan kredibiliti. Hari pertama kata RM 1 billion. Hari kedua RM 260 juta. Hari ketiga RM 42 juta pula.
Mungkin Chua ingat dia setaraf dengan Rafizi Ramli. Malangnya, beliau gagal faham bahawa pendedahan Rafizi ini bukan setakat adakan sidang media besar dengan melaungkan nombor-nombor. Di belakang setiap
pendedahan adalah usaha berjam-jam membuat penyelidikan terperinci.
Cubalah buat kerja rumah sebelum ingin berdepan dengan tokoh korporat berintegriti seperti Menteri Besar Selangor, terutamanya jika dari pihak BN - janganlah sampai mengata dulang, paku serpih.