Sunday, March 29, 2009

Kelam yang bakal...




Pemanis diberi berbalas cuka,
Cuka dibekal si anak dara,
Hancur hati bersulam duka,
Kerna jasad nan terpenjara,

Sedih pilu hanyaku rasa,
Menyeksa jiwa seluruh raga,
Apalah nasib jiwa bangsa,
Tergadai maruah, diri dan harga,

Berlari aku dari diserkap,
Menuju jauh ke ufuk kaba,
Kepada siapa kan ku lagi berharap,
Menanti sinar tak kunjung tiba,

Di atas pohon bersarang keluang,
Mengidam selera akan si buah,
Inilah resam dalam berjuang,
Onak ranjau pasti ku redah,

Berjalan si gadis sebatang kara,
Bersulam cantik si cindai merah,
Demi keadilan, rakyat dan negara,
Menyerah diri takkan sekali pernah....


Saturday, March 21, 2009

Wednesday, March 11, 2009

Pidato Kebangsaan 8 Mac 2009


8 Mac 2009, genap setahun menyaksikan kebangkitan rakyat melalui sistem demokrasi pada tarikh yang sama pada tahun lepas. Sepanjang waktu itu juga, pasang surut landskap politik tanah air menghiasi kehidupan seluruh rakyat jelata. Disulami dengan krisis ekonomi dunia yang semakin meruncing, tempoh sela masa ini dan yang akan datang adalah satu tempoh yang pasti mencabar buat rakyat Malaysia.

Agenda perubahan yang digerakkan Pakatan Rakyat harus digarap dan dihadam seelok-eloknya oleh pimpinan dan aktivis Pakatan Rakyat dalam merealisasikan agenda ini. Advokasi dan pengkaderan ahli perlu lebih giat dijalankan demi menambah sumber dan dana. Penyebaran dan usaha penghebahan matlamat perjuangan kita wajib terus dilakukan supaya rakyat seluruhnya faham akan apa yang kita perjuangkan dan tawarkan. Politik baru ini wajar kita hayati dan anuti demi menjamin bangsa Malaysia yang lebih baik dan berhemah di masa depan.

Pesanan Ketua Umum supaya aktivis bekerja lebih kuat dan berusaha gigih untuk mendekati dan mendengar rintihan rakyat harus dijadikan pedoman. Kita tidak mungkin mencapai apa yang kita miliki sekarang jika rakyat tidak memilih kita. Rakyat yang menentukan kita berkuasa pada hari ini, dan rakyat juga yang bakal menjatuhkan kita di kemudian hari. Maka itu, dekati mereka dan dengarkan permasalahan mereka. Ancaman dan politik kotor yang semakin kuat menekan kita janganlah dengan tuba juga ia dibalas. Banyakkan bersabar dan berdoa pada Tuhan kerna yang pasti akhirnya Keadilan dan Kebenaran itu akan tertegak jua

Teruskan perjuangan. Reformasi.

Qanun fi at Dunia

Friday, March 6, 2009

Pidato Kebangsaan "Ketuanan Rakyat"


Pada 8 Mac 2009, Anwar Ibrahim akan menyampaikan Pidato Kebangsaan sempena meraikan sambutan setahun kejayaan Pakatan Rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-12 tahun lalu.

Pidato beliau akan menumpu pada isu-isu ke arah membina penyatuan rakyat Malaysia. Beliau juga dijangka akan mengumumkan pendekatan yang perlu diambil oleh pimpinan Pakatan Rakyat dalam menghadapi cabaran kemelesetan ekonomi serta perancangan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan usaha meningkatkan mutu pendidikan negara.

Butiran program:

Hari: Ahad 8hb Mac 2009
Masa: Jam 4.30 petang
Tempat: Wisma MBSA, Shah Alam, Selangor Darul Ehsan

Anda juga boleh menonton siaran langsung acara tersebut di laman http://www.justin.tv/tvantara

Juga jangan lupa melawat laman web www.keadilanrakyat.org

PEJABAT DATUK SERI ANWAR IBRAHIM



Thursday, March 5, 2009

AMK Shah Alam di Facebook...


Kini AMK Shah Alam boleh ditemui di dalam Facebook. Dengan perkembangan baru ini, diharap pengkaderan keanggotaan baru dari anak muda Shah Alam dapat dijalankan dengan lebih giat melalui alam maya.

Ramai-ramai mendaftarkan diri anda di dalam laman sosial Facebook dan menyertai AMK Shah Alam....


Tetapkan Pendirian, Teruskan Istiqamah...

Pastinya tidak ramai di antara kita yang masih mengingati ucapan pengebumian oleh Pericles, untuk mangsa-mangsa Perang Peloponnesian. Ucapan tersebut menggugah perasaan dan menyuntik semangat penduduk Athens, kerana ianya bukan sahaja eulogi untuk yang telah mati, malah juga satu bentuk testamen politik; pembedaan di antara Athens dengan negara-negara lainnya, juga di antara negara yang diperintah menurut asas-asas demokrasi dengan yang memerintah memaksakan ketakutan serta kezaliman ke atas rakyatnya.

Maka wajar diingat tanggal 3 Mac 2009, sejarah terukir di Ipoh, Perak Darul Ridzuan. Peristiwa tersebut dari kebesarannya, menyamai kesan ucapan Pericles di Athens. Dinaungi sebatang pohon, sidang tergempar Dewan Undangan Negeri Perak pun berlangsung, mengesahkan kedudukan Menteri Besar Dato’ Seri Nizar dan keabsahan Kerajaan Pakatan Rakyat Perak.

Media tunggangan UMNO-BN cuba mengolah pandangan dengan memperlekeh sidang bersejarah tersebut. Saya tegaskan jangan sesekali cuba memperbodoh rakyat! Sidang tersebut berlangsung dengan penuh kemuliaan, kerana kemuliaan sistem demokrasi dan Raja Berperlembagaan tidak sama sekali bergantung kepada dewan yang berhawa dingin dan besar megah! Kemuliaan Dewan kerana ianya menyuarakan hasrat dan cita-cita rakyat.

Ingatlah ketika Rasulullah S.A.W mempersetujui Perjanjian Hudaibiyah di bawah naungan sebatang pohon yang beberapa tahun kemudiannya disusuli dengan kejayaan pembukaan kota Mekah. Saya nukilkan di sini firman Allah S.W.T dalam Surah Al Fath, ayat 18:

Demi sesungguhnya! Allah reda akan orang-orang yang beriman, ketika mereka memberikan pengakuan taat setia kepadamu (wahai Muhammad) di bawah naungan pohon (yang termaklum di Hudaibiyah); maka (dengan itu) ternyata apa yang sedia diketahuiNya tentang (kebenaran iman dan taat setia) yang ada dalam hati mereka, lalu Ia menurunkan semangat tenang tenteram kepada mereka, dan membalas mereka dengan kemenangan yang dekat masa datangnya;

Kepada pendokong Pakatan Rakyat, tetapkan pendirian dan terus istiqamah memperjuangkan keadilan, inshaallah Allah S.W.T akan memberikan kita dengan kemenangan yang dekat masa datangnya.

ANWAR IBRAHIM

Friday, February 20, 2009

Anwar kemuka bukti BN ugut dan ancam Adun Pakatan agar lompat parti.

Anwar kemuka bukti BN ugut dan ancam Adun Pakatan agar lompat parti

KUALA LUMPUR, 19 Feb: Sebagaimana dijanjikan semalam, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengemukakan tiga bukti dalam Dewan Rakyat yang menunjukkan BN memang berusaha dengan pendekatan rasuah dan ugutan untuk menarik Adun Pakatan menyertai BN.Ketiga-tiga bukti itu adalah rakaman CCTV, peluru hidup dan penculikan.

Namun, Anwar mendakwa, polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak berminat dengan bukti-bukti ini.Anwar berkata demikian ketika membahaskan ucapan titah Yang Dipertuan Agung di Dewan Rakyat hari ini.Dalam kes CCTV, Anwar berkata, pihaknya dengan kerjasama SPRM telah memasang CCTV untuk merakam perbualan antara Adun Kulim, Lim Soo Nee dari PKR dengan bekas MB Kedah, Datuk Seri Mahatzir Khalid.Rakaman itu dibuat di sebuah hotel di Seberang Jaya, Pulau Pinang yang menunjukkan Mahatzir dan Adun itu.Kata Anwar, agen kepada Mahatzir telah menawarkan Lim Soo Nee RM5 juta untuk melompat parti dan menyertai BN.Lim, kata Anwar, telah menolak tawana itu dan membuat laporan polis kemudiannya tetapi tidak ada tindakan sehingga kini.

Anwar mendakwa, Adun Bukit Selambau, V Arumugan telah diugut dengan bermacam cara termasuk ugutan bunuh sebagaimana yang dialami oleh bekas Adun Lunas, Joe Fernandez yang mati dibunuh jika kekal dengan aktiviti politiknya.Anwar mendakwa, semua laporan ini tidak diambil tindakan oleh polis dan SPRM selepas mendapat tekanan dari pemimpin atasan BN.

Jangan Jadi Seperti Kereta “Lembu”.

Kenyataan Media AMK Selangor


Tarikh : 20-Februari-2009 (Jumaat)


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Jangan Jadi Seperti Kereta “Lembu”.AMK Selangor mendesak agar SPRM di bawah Ketua Pesuruhjayanaya, Datuk Ahmad Said Hamdan jangan menjadi seperti Kereta Lembu atau Lembu kepada Kerajaan UMNO-BN.

Ini berikutan laporan beliau dalam Utusan Online yang disiarkan dalam Malaysiakini hari ini, yang menjelaskan bahawa Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Ahmad Said Hamdan berkata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan didakwa berhubung tuduhan beliau telah menyalahguna kuasanya dalam pembelian lembu korban dan penyelenggaran kereta peribadinya. Beliau juga menambah terdapat bukti-bukti kukuh berhubung dakwaan tersebut.

Menurutnya lagi, kertas siasatan sudah siap dan akan dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara tidak lama lagi.

AMK Selangor akan mempertahankan dan berdiri teguh di belakang kepimpinan Menteri Besar Selangor, YAB Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam isu ini. AMK Selangor penuh yakin dan tiada keraguan terhadap tindakan beliau untuk menyaman Bekas Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Khir Toyo dalam isu kereta dan lembu ini.

AMK Selangor juga berpendirian dan berpendapat bahawa isu kereta dan lembu yang telah dimainkan oleh media melalui laporan Khir Toyo dan Pengerusi GERAK, Mohd Nazree Mohd Yunus adalah semata-mata perangkap jahat dan mainan politik kotor UMNO-BN dalam strategi serangan terhadap kerajaan Pakatan Rakyat yang mentadbir Negeri Selangor di bawah kepimpinan YAB Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selaku Menteri Besar yang amat disegani.

AMK Selangor amat yakin dengan ketelusan pentadbiran YAB Menteri Besar dan menganggap bahawa kenyataan-kenyataan terhadap isu kereta dan lembu adalah bersikap jahat dan cuba untuk mengganggu gugat pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat di negeri Selangor kini.

AMK Selangor juga berharap agar pihak Mahkamah akan mengadili kes ini dan bertindak seadil-adilnya bagi membersihkan nama YAB Menteri Besar Selangor yang saban hari dicemari oleh permainan kotor politik UMNO-BN.



AMK Selangor juga yakin bahawa Khir Toyo dan UMNO-BN sudah tiada startegi lain dalam berpolitik untuk memenangi hati rakyat Negeri Selangor sehingga sanggup membawa isu-isu pudar dalam niat untuk menjatuhkan kepimpinan YAB Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.



AMK Selangor ingin mengingatkan lagi Khir Toyo agar lebih cerdik dan sopan dalam berpolitik sebelum beliau bertanding Jawatan Ketua Pemuda UMNO bulan Mac depan.





"Ke Arah Selangor Yang Lebih Cemerlang"

Semak Waktu Solat Dan Marilah Sembahyang..

Prayer Times For 6 Million Cities Worldwide
Country: