Minyak bawah AS$100 setong
VIENNA 10 Sept. - Harga minyak mentah dunia jatuh di bawah paras AS$100 (RM346) setong buat pertama kali dalam tempoh lima bulan di London apabila Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) sebulat suara memutuskan untuk menurunkan pengeluaran minyak kepada 520,000 tong sehari.
Presiden OPEC yang juga Menteri Tenaga Algeria, Chakib Khelil ketika mengumumkan perkara itu berkata, pengurangan pengeluaran minyak itu yang berkuat kuasa serta-merta, bertujuan untuk mengurangkan risiko yang berpunca daripada komoditi itu.
Ketika pengumuman dibuat lewat malam tadi, di London, minyak mentah Brent North Sea bagi penghantaran Oktober diniagakan pada paras AS$99.04 (RM342.67).
Bagaimanapun harga di pasaran Asia menyaksikan minyak bermutu tinggi bagi penghantaran Oktober naik sebanyak AS$0.92 (RM3.18) kepada AS$104.18 (RM360.46) setong dan Brent North Sea meningkat kepada AS$101.07 (RM349.70) setong.
Menurut Chakib, dengan kuota baru itu, OPEC akan hanya mengeluarkan 28.8 juta tong minyak sehari. Keputusan OPEC itu telah mengurangkan kadar penurunan harga minyak, sekali gus menghampakan para pengguna yang menaruh harapan untuk menyaksikan kejatuhan harga minyak lebih besar.
Setiausaha Tenaga Amerika Syarikat (AS), Samuel Bodman sebelum ini meminta para pengeluar minyak supaya memastikan minyak di pasaran mencukupi.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung OPEC, Abdullah al-Badri ketika ditanya mengenai permintaan AS itu berkata: ''AS boleh memberi arahan tersebut kepada syarikat-syarikat yang ada tetapi bukan OPEC''.
Para penganalisis sebelum ini mencadangkan agar OPEC mengekalkan polisi semasa tetapi bersetuju supaya pengurangan pengeluaran minyak oleh beberapa anggota OPEC seperti Arab Saudi yang telah mengeluarkan minyak melebihi kuota mereka.
Bagaimanapun, keputusan akhir yang diumumkan oleh OPEC memang memeranjatkan.
Chakib berkata, beliau tidak menjangka keputusan OPEC itu bertentangan dengan aliran menurun harga minyak yang sebelum ini menyaksikan rekod harga tertinggi iaitu AS$147 (RM508.62) setong pada Julai lalu.
''Pada firasat saya harga (minyak) tetap turun walaupun keputusan telah dibuat.
''Saya tidak percaya keputusan ini akan menjejaskan pengguna dalam apa cara sekali pun kerana bekalan minyak berlebihan, semua orang setuju mengenai perkara itu,'' katanya.
Kepentingan yang diambil kira OPEC pada kali ini berbeza dengan pertemuan pada Mac lalu ketika harga minyak melepasi AS$100 (RM346).
Pertemuan kali ini lebih menumpukan kepada persoalan penentuan harga minyak yang dimahukan oleh kartel itu bagi melindungi harga komoditi berkenaan daripada terus menyusut.
Iran, Iraq dan Venezuela mahu harga minimum minyak berada pada AS$100 setong tetapi Arab Saudi lebih selesa sekiranya harga minyak pada sekitar AS$80 (RM276.80) hingga AS$90 (RM311.40) setong.
No comments:
Post a Comment