Wednesday, May 19, 2010

MP Kinabatangan didesak letak jawatan

Kumpulan bertindak untuk kesetaraan gender (JAG) mendesak supaya Bung Moktar Radin mengosongkan kerusi parlimennya kerana melanggar undang-undang ekoran berpoligami tanpa kebenaran.

Seorang jurucakapnya Maria Chin Abdullah (kanan) berkata ahli parlimen Kinabatangan itu tidak sepatutnya melanggar undang-undang kerana ia memberi mesej yang tidak baik kepada masyarakat.

"Bung Moktar perlu meletak jawatan, dan tidak sepatutnya mewakili rakyat Malaysia lagi.

"Itu langkah terbaik," katanya ketika bercakap kepada wartawan di perkarangan Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur hari ini.

Katanya lagi, poligami tanpa kebenaran juga merupakan satu bentuk penghinaan kepada golongan wanita.

Tambahnya, Bung Moktar juga mempunyai reputasi tidak baik kerana sering menjadikan golongan wanita sebagai sasaran dalam ucapannya di Dewan Rakyat.

Bung Moktar sebelum ini mengaku bersalah kerana mengahwini isteri keduanya Zizie Ezette A Samad tanpa kebenaran mahkamah pada Disember 2009.

Ahli parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin hari ini dijatuhi hukuman penjara selama sebulan atas kesalahan poligami tanpa kebenaran.

Beliau
juga didenda RM1,000 bagi satu lagi kesalahan bernikah tanpa kebenaran dan berhadapan dengan hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal menjelaskan denda tersebut hari ini.


Isteri keduanya, Zizie Ezette Abd Samad pula didenda RM1,000 bagi setiap dua kesalahan.

Pelakon terkenal itu bersalah atas tuduhan bersubahat bagi kesalahan poligami tersebut dan juga kesalahan pernikahan tanpa kebenaran.


Zizie juga menghadapi hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal menjelaskan denda tersebut hari ini.

Jurunikah bagi perkahwinan itu pula, Ahmad Shahazami, yang juga abang kepada Zizie dihukum denda RM1,000 bagi kesalahan itu.

Dua orang adiknya, Samzy Fuzette dan Shaheizy Sam juga masing-masing didenda RM1,000 kerana bersubahat atas kesalahan itu.

Selain itu, ketiga-tiga adik beradik lelaki itu juga didenda RM1,000 bagi kesalahan bersubahat bagi kesalahan poligami tanpa kebenaran.

Dua yang lain, dipercayai rakan Bung Moktar -- Sahari Ahmad dan Titing Putang, didenda RM1,000 bagi satu kesalahan bersubahat bagi kesalahan tersebut.

Mohon tangguh hukuman

Semua tertuduh memfailkan permohonan untuk menangguhkan hukuman melalui peguam Amli Embong.

Hakim Wan Mahyuddin Wan Muhammad dalam pada itu berkata, penghakiman hari ini dibuat dengan mengambil kira hujah mitigasi daripada peguam dan juga pendakwa.

Bagaimanapun, mahkamah bersetuju dengan pandangan supaya hukuman dibuat dengan mengambil kira kedudukan Bung Moktar dan Zizie sebagai tokoh yang dikenali masyarakat.

Tambahnya, hukuman yang dikenakan kepada wali dan saksi itu juga bertujuan mendidik masyarakat mengenai peraturan perkahwinan.

Katanya, hukuman juga diberikan dengan setimpal dan seadilnya memandangkan perkahwinan itu didaftarkan secara tidak sah.

"Jika wali dan saksi tidak mengikut peraturan, boleh dianggap menjalankan pernikahan sindiket," katanya.

Tambahnya, pembelaan juga gagal membuktikan sama ada perkahwinan kedua Bung Moktar merupakan sesuatu yang patut dan perlu.

Katanya lagi, hukuman di mahkamah syariah perlu dinaikkan, memandangkan had hukuman denda maksimum sebanyak RM1,000 menyebabkab masyarakat tidak menghormati undang-undang syariah.

Mahkamah kemudiannya membenarkan permohonan Bung Moktar untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sebulan yang dijatuhkan ke atas dirinya itu.

Awal pagi tadi, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang hadir untuk mengikuti perbicaraan itu turut membuat kecoh apabila mereka tidak dibenarkan masuk sehingga ahli keluarga tertuduh dan wartawan masuk dahulu ke kamar mahkamah berikutan tempat duduk yang terhad.

Pada perbicaraan semalam NGO yang diterajui oleh kumpulan bertindak untuk kesetaraan gender (JAG) mendesak supaya Bung Moktar mengosongkan kerusi parlimennya kerana melanggar undang-undang ekoran berpoligami tanpa kebenaran.

Sementara itu, JAG menafikan tindakan mereka itu disebabkan dendam mereka terhadap ahli parlimen Kinabatangan itu.

"Tidak. Bukan disebabkan dendam. Kami sudah lama memerhatikan (gelagat beliau). Kami pantau (kenyataan-kenyataan) dia," kata Maria ketika ditanya mengenainya.

Bung Moktar yang memakai sut berwarna perak dan baju berwarna ungu ke mahkamah hari ini bagaimanapun kelihatan tidak endah dengan kehadiran kira-kira 10 orang aktivis JAG di situ.

Beliau juga sekadar ketawa kecil selepas meneliti kenyataan akhbar oleh JAG, yang diedarkan kepada wartawan sebelum itu.

Ketika ditanya Malaysiakini, Bung Muktar berkata beliau tidak melanggar peraturan.

"Saya sememangnya seorang pembuat undang-undang, bukannya (seorang yang) melanggar undang-undang," katanya.

Tambahnya, beliau tidak perlu memberi reaksi kepada kenyataan kumpulan wanita tersebut.

"Jika mereka inginkan jawapan, mereka perlu tanya di Dewan Rakyat. Saya tidak perlu jawab kepada mereka di sini," tegasnya.

No comments:

Semak Waktu Solat Dan Marilah Sembahyang..

Prayer Times For 6 Million Cities Worldwide
Country: