Monday, May 24, 2010

Sarawak: BN bakal dihukum

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin bertolak dengan jet dari Kuantan sesudah merasmikan Hari Guru Peringkat Kebangsaan menjelang senja, ke bandar 270,000 penduduk itu.

Tetapi beliau tidak pun menjejakkan kaki ke Dewan Suarah, tempat undi dijumlahkan dan pemenangnya diisytiharkan. Hasrat beliau tentu untuk meraikan kemenangan BN yang benar-benar ingin membuktikan bahawa kepemimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang turun berkempen tiga kali, diterima oleh rakyat.

RM400 juta ditaburkan

Namun, Muhyiddin difahamkan bertolak balik ke Kuala Lumpur sebelum jam 9 malam sesudah mengetahui bahawa calon DAP, Wong Ho Leng mendahului calon Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Robert Lau Hew Yiew.

Keyakinan BN untuk memenangi kerusi itu bukan tidak berasas, mengambil kira jumlah wang yang disalurkan dan janji yang ditaburkan kepada pengundi. Dikatakan lebih RM400 juta dijanjikan untuk pelbagai projek pembangunan bagi menakluki minda dan jiwa pengundi.

Pada hari terakhir sebelum hari mengundi 16 Mei lalu, pemimpin BN mendapat maklumat daripada risikan dan instrumennya bahawa calon mereka masih mendahulu DAP sekitar satu peratus.

Presiden S

UPP Tan Sri George Chan Hong Nam dan pemimpin BN Sarawak menyifatkan kekalahan itu sebagai kekalahan kecil. Bagi mereka, seekor ayam yang berkokok tidak semestinya menandakan hari akan siang.

Mereka menasihati DAP supaya tidak terlalu yakin dan angkuh dengan kemenangan itu. Bagi BN, itu bukan bermakna bahawa kunci ke Petrajaya dan Putrajaya akan terlepas daripada tangan mereka.

Bagi DAP kemenangan itu memberi keyakinan dan semangat tinggi untuk melebarkan pengaruhnya dalam pilihan raya negeri nanti. Dalam pilihan raya lalu DAP mememenangi kerusi di bandar Kuching, Meradong dan Bukit Assek, Sibu.

Seterusnya, Miri?

DAP menyimpan azam tinggi untuk menakluki kerusi negeri dan Parlimen di Miri yang sejak sekian lama menjadi kubu kuat BN. Tetapi dengan trend dan pola pengundian yang diperlihatkan di Sibu, terutama dalam kalangan pengundi Cina, dapatkah SUPP, parti tertua Sarawak itu terus dengan keyakinan bahawa Miri akan terus dikuasainya?

Dari segi pecahan undi, pengundi Cina menyumbang sebanyak 66.7 peratus daripada jumlah pengundi berdaftar di Sibu. Dalam pilihan raya kecil lalu, terdapat peningkatan yang ketara, daripada 62 peratus pada pilihan raya umum 2008 kepada 69 peratus menyokong DAP.

Mati-matian pemimpin SUPP dan pemimpin negeri mengatakan bahawa trend di Hulu Selangor dan di Semenanjung tidak mungkin berlaku di Sibu dan Sarawak. Kekalahan di Sibu merupakan tamparan hebat kepada SUPP dan pimpinan Ketua Menteri. Bagi SUPP, ia merupakan pil pahit yang perlu ditelannya menjelang pilihan raya negeri.

Mereka lupa bahawa pengundi Cina di Sarawak sebenarnya mendahului pengundi Cina di Semenanjung apabila enam kerusi bandar dikuasai SUPP terlepas ke tangan DAP pada 2006.

Mereka bagai tersentak apabila pengundi Cina langsung tidak mempedulikan rayuan dan gula-gula yang dihulurkan oleh Najib menjelang pilihan raya, termasuk bantuan RM18 juta kepada sekolah Cina dan sekolah menengah bantuan Methodist.

Mac, April 2011 - Pilihan Raya Sarawak?

Bagi mereka, bantuan itu adalah hak mereka, dan datang terlalu lewat ketika banyak lagi sekolah serupa tidak menerima bantuan di seluruh Sarawak.

Peningkatan sebanyak 4 peratus undi di kalangan orang Iban juga bukanlah sesuatu yang signifikan dan dapat dibanggakan sangat jika diambil kira jumlah menteri dan pemimpin politik BN yang turun ke bawah dan jumlah peruntukan yang disalurkan di kalangan penghuni rumah panjang ketika tempoh berkempen.

Kemenangan DAP menyebabkan SUPP semakin risau akan nasibnya dalam pilihan raya negeri yang kini perlu dianjakkan.

Besar kemungkinan pilihan raya Sarawak diadakan sekitar bulan Mac atau April tahun depan. Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang menjadi Ketua Menteri sejak 29 tahun lalu, dan baru meraikan hari jadi ke-74 pada 21 Mei lalu, tidak akan berani mengambil risiko parti BN itu terus dilibas oleh DAP.

Ketua Menteri paling lama memerintah di Malaysia itu ingin membuktikan bahawa kepemimpinan beliau terus diterima oleh 2.5 juta rakyat Sarawak, dan kegagalan BN memenangi sebarang kerusi bukan petanda bahawa rakyat benci kepada beliau biarpun terdapat kain rentang di Sibu yang berteriak 'Undi SUPP=Undi Taib' dan 'Bye-bye to Taib's Dynasty'.

Mungkinkah SUPP akan dicampakkan oleh masyarakat Cina sama seperti MCA dan Gerakan di Semenanjung? Jika parti yang ditubuhkan pada 1959 itu gagal mmembaiki kelemahannya dan gagal memenuhi aspirasi masyarakat Cina, jangan hairan ia akan menerima padah.

SUPP bakal menghadapi tentangan sengit di kerusi bandar dan berdepan dengan kekalahan di beberapa kerusi lain termasuk di Pelawan, Sarikei dan Dudong. Dalam pilihan raya negeri 2006, SUPP hanya menang tipis di kerusi terbabit.

Jika perkara ini berlaku, DAP dapat menambahkan jumlah kerusi kepada sembilan dalam pilihan raya negeri yang dijangka semakin sengit berbanding 2006.

Dalam pilihan raya itu nanti, BN berdepan dengan pati komponan Pakatan Rakyat yang bersatu, terdiri daripada DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) dan PAS.

Semua kerusi pasti ditandingi, berbeza daripada sebelumnya apabila sebahagian kerusi dimenangi tanpa bertanding. Dengan kerjasama dan persefahaman parti komponen Pakatan Rakyat, BN tidak mungkin diberi laluan mudah. SUPP yang dibelenggu masalah kepemimpinan dan intrig dalaman dijangka gagal menyelesaikan masalah itu dan membaiki imejnya dalam tempoh singkat.

Kini, Pakatan Rakyat semakin mendapat momentum sesudah wakil rakyatnya, Dominique Ng (PKR-Padungan) dan Chong Chien Jen (DAP-Kota Sentosa) digantung selama 12 bulan daripada Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak minggu lalu. Seorang lagi ADUN Ting Tze Fui (DAP- Meradong) bakal menerima nasib yang sama.

Meskipun Wong Ho Leng pengerusi DAP negeri menyifatkan tindakan itu sebagai balas dendam terhadap keupayaan DAP memenangi kerusi Sibu, namun ia tidak lebih sebagai percubaan untuk menyekat suara lantang pemimpin pembangkang daripada mengkritik dasar kerajaan di bawah pimpinan Taib.

Dengan tindakan keras diambil terhadap wakil pembangkang itu, ia sebenarnya hanya menguntungkan DAP kerana masyarakat Cina tidak suka wakil mereka diperlakukan sedemikian. Isu itu hanya akan menyemarakkan kemarahan pengundi Cina yang tentu akan terus menyokong calon DAP. Justeru, jangan hairan, sekali lagi SUPP akan dihukum keras oleh pengundi Cina di bandar dalam pilihan raya negeri nanti.

No comments:

Semak Waktu Solat Dan Marilah Sembahyang..

Prayer Times For 6 Million Cities Worldwide
Country: