Saturday, September 5, 2009

-Memorandum Bantahan Penyambungan Kontrak Tan Sri Musa Hassan.

4 September 2009
Oleh : Muafakat Pemuda Pakatan Rakyat.

Kami, mewakili organisasi-organisasi seperti di bawah, dengan ini menyatakan bantahan sekeras-kerasnya terhadap tindakan Kerajaan Malaysia membuat keputusan untuk mencadangkan kepada ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong agar menyambung kontrak Tan Sri Musa Hassan sebagai Ketua Polis Negara untuk tempoh setahun lagi.Penyambungan kontrak Tan Sri Musa Hassan ternyata membuktikan kegagalan Barisan Nasional untuk melaksanakan amanah sebagai kerajaan dengan sebaik-baiknya.Kami percaya cadangan dikemukakan tanpa mengambilkira dan tanpa menyatakan bantahan-bantahan rakyat selama ini terhadap prestasi kerja dan integriti Tan Sri Musa Hassan sebagai Ketua Polis Negara.

Pelbagai dakwaan dan malah akuan bersumpah telah dibuat mengaitkan Tan Sri Musa Hassan dengan kumpulan-kumpulan jenayah terancang dan kongsi gelap. Beliau juga dikaitkan dengan amalan rasuah. Dakwaan-dakwaan ini telah tidak disiasat dengan sebaik-baiknya dan beliau sendiri gagal untuk meyakinkan rakyat bahawa beliau bebas daripada semua dakwaan-dakwaan yang dikemukakan.Sebagai penjawat awam yang memegang jawatan tertinggi di dalam Polis DiRaja Malaysia, Tan Sri Musa Hassan mempunyai tanggungjawab untuk mengambil tindakan, termasuk dengan menyaman pihak yang membuat dakwaan, bagi membersihkan nama beliau. Ini adalah amat penting bagi memastikan keyakinan rakyat terhadap beliau utuh. Kegagalan berbuat demikian menimbulkan persoalan dan syak di kalangan rakyat. Dakwaan yang terpalit ke atas beliau juga menjejaskan nama baik dan integriti institusi polis yang diterajui beliau.
Seorang Ketua Polis Negara seharusnya mampu memperkukuhkan keyakinan kepada institusi yang diterajuinya jika beliau mempunyai integriti peribadi yang utuh. Namun perlantikan seorang pegawai polis, dengan melangkaui pegawai-pegawai yang lebih kanan, dan pernah terlibat dalam konspirasi jahat fitnah terhadap pemimpin utama negara, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menjadikan beliau satu liabiliti kepada PDRM.

Pencapaian pasukan polis di bawah kepemimpinan Tan Sri Musa Hassan juga benar-benar mengecewakan. Kematian-kematian dalam tahanan polis membuatkan rakyat hilang keyakinan terhadap kemampuan dan komitmen pihak polis untuk melindungi rakyat. Sekiranya rakyat yang di bawah tahanan pihak polis gagal dijamin keselamatan mereka, apa kemampuan polis untuk menjamin memastikan keselamatan rakyat. Ini menjadikan lebih parah tanggapan awam bahawa pihak polis menindas dan memeras rakyat melalui amalan rasuah dan salahguna kuasa yang meluas.Sepanjang kepemimpinan beliau juga, kadar jenayah terus meningkat. Rakyat kini tidak merasa selamat dengan kes-kes jenayah terhadap diri orang awam seperti rompak, bunuh, ragut dan sebagainya terus berleluasa.Kayu ukur utama pencapaian sebuah pasukan polis sudah tentu kemampuan untuk menjaga keselamatan rakyat. Menilai dari petanda aras itu, ternyata Tan Sri Musa Hassan telah gagal menjalankan tugas beliau dengan baik. Kegagalan beliau bukan kepalang.

Penentangan beliau terhadap cadangan penubuhan suruhanjaya bebas untuk mengawasi polis juga membuktikan bahawa ada yang cuba disembunyikan daripada pengetahuan rakyat. Jika bukan penyelewengan, rasuah dan perlakuan jenayah; setidak-tidaknya kecuaian dan sikap tidak kompeten polis cuba diselindungi.Justeru kerajaan seharusnya mengambil peluang tamatnya kontrak Tan Sri Musa Hassan sebelum ini untuk melantik seorang pegawai yang mampu memulihkan prestasi PDRM dan mengembalikan keyakinan rakyat terhadap institusi tersebut.Kegagalan kerajaan untuk melakukannya menjadi bukti bahawa rakyat tidak didahulukan dan pencapaian tidak diutamakan. Malah ia adalah satu pengkhianatan kerajaan terhadap rakyat.
Kami dengan ini menuntut kerajaan untuk menyembah cadangan baru ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong untuk menarik balik penyambungan kontrak Tan Sri Musa Hassan berasaskan kegagalan cadangan sebelum ini untuk mengambilkira faktor-faktor yang dinyatakan di atas dengan sewajarnya.Seterusnya cadangan baru seorang tokoh yang mampu memulihkan imej dan integriti Polis DiRaja Malaysia, dan memperbaiki keyakinan rakyat terhadap PDRM harus dipersembahkan ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong bagi dilantik menjadi Ketua Polis Negara yang baru.
Institusi polis ialah salah satu elemen utama sesebuah negara. Justeru persoalan penting perlantikan Ketua Polis Negara ini harus ditangani dengan serius demi meletakkan Malaysia pada landasan yang betul untuk pemulihan dan masa depan yang lebih untuk negara dan seluruh rakyat.


Shamsul Iskandar Mohd Akin Nasrudin Hj Hassan YB Loke Siew Fook
Ketua Ketua Ketua
Angkatan Muda Keadilan Dewan Pemuda Pas Pemuda Sosialis DAP

No comments:

Semak Waktu Solat Dan Marilah Sembahyang..

Prayer Times For 6 Million Cities Worldwide
Country: