Lagu Janji dicapati

Loading...

Friday, February 5, 2010

Khairy : Musnah dalam UMNO dan Mungkin akan cari Impian dalam PKR






Desas-desus mulai tersebar, bahawa Khairy Jamaluddin didesak untuk meletakkan jawatan Ketua Pemuda UMNO-nya, atas alasan “kegagalan beliau menterjemahkan hala tuju Pemuda UMNO selari dengan kepimpinan Presiden UMNO, Najib Abdul Razak”.


Sebarang pengesahan dan penafian oleh mana-mana pihak tidak bermakna buat setakat ini. Realitinya Khairy Jamaluddin menang tipis dalam pertarungan tiga penjuru pada Mac 2009; dan kemudiannya, nama “pemenang” jawatan ketua sayap pemuda ini tidak tersenarai dalam barisan kabinet Najib, sementara lawannya yang kecundang, Mukhriz Mahathir dan Naib-nya, Razali Ibrahim dilantik sebagai Timbalan Menteri.


Menantu bekas PM Abdullah Ahmad Badawi ini pernah dituding jari sebagai punca kekalahan UMNO-BN dalam PRU ke-12. Kini, beliau pula dipersalahkan kerana gagal menterjemahkan hala tuju perjuangan selari dengan kepimpinan Najib, tanpa menjelaskan apakah sebenarnya hala tuju perjuangan Najib.


Seandainya individu Khairy menjadi ikon untuk melambangkan keangkuhan, kezaliman dan kerakusan kuasa UMNO-BN pada PRU ke-12; maka situasinya pada hari ini pula mencerminkan dilema UMNO-BN secara keseluruhannya. Ringkasnya, dilema Khairy terjelma dalam soalan berbunyi, bagaimana berpolitik ala-bandar, dalam sebuah parti yang kubunya bertapak di kampung?


Khairy: Selepas PRU ke-12


Jelas, bekas Naib Ketua Pemuda zaman pimpinan Hishammuddin Hussein ini “kurang menonjolkan diri” buat seketika selepas tsunami politik 8 Mac 2008. Untuk tempoh tersebut, seperti rakan seperjuangannya dalam parti, apa-apa yang diperkatakan atau diperlakukan serba tidak kena pada tempatnya.


Misalnya, Khairy menerima tamparan sengit apabila mendabik dada menyatakan hasratnya untuk “menguburkan nyawa politik Anwar (gambar kiri)” di PRK Permatang Pauh, di mana ianya berakhir dengan kesudahan “menggali kubur sendiri”. Untuk satu jangka yang agak panjang, selepas PRU ke-12 sehinggalah pemilihan parti UMNO, mulut Khairy masih berbuih-buih dengan air liur politik lamanya, misalnya menyerang Anwar dengan tuduhan liwat, agen Yahudi dan sebagainya.


Dari perspektif kuasa dalam UMNO pula, hubungan bapa mertua-menantu antara Abdullah Ahmad Badawi dengan Khairy Jamaluddin menyaksikan perubahan dari “saling memanfaatkan” pada mulanya, kepada “saling membebankan” di akhir zaman pemerintahan Abdullah Badawi. Walau bagaimanapun, Khairy berjaya melepaskan diri dari celah antara Khir Toyo dengan Mukhriz Mahathir, apabila Pak Lah akhirnya mengumumkan untuk mengundur diri.


Khairy: Selepas pemilihan UMNO


Menyedari situasinya dalam UMNO selepas pemilihan parti, Khairy menerima segala-gala yang menimpa pada dirinya. Ketua Pemuda BN ini tetap menahan pengaiban terhadap dirinya apabila tidak diberi sebarang tempat dalam kerajaan, malah perlu mempertahankan keputusan ini dengan alasan presiden mahu dirinya menumpukan masa untuk parti.


Maka, Khairy (gambar kanan) memulakan “penjenamaan semula” (rebranding) imej dirinya, dengan golongan kelas menengah, penduduk bandar dan bukan-Melayu sebagai sasarannya. Dengan kefasihan bahasa Inggerisnya, beliau bersilat lidah dengan wakil pembangkang, aktivis NGO di media antarabangsa; berdialog dengan penuntut institut pengajian tinggi, ditemuramah akhbar Cina tempatan dan sebagainya.


Malah, lakonan Khairy dalam 15 Malaysia (15 filem yang diterbitkan pengarah tempatan) berjaya mengubah persepsi sesetengah orang muda terhadap dirinya, apabila beliau sanggup memainkan watak dalam filem untuk mempersendakan dirinya di dunia realiti.


Untuk akhbar Cina arus perdana, ucapan sulung Khairy selaku Ketua Pemuda UMNO dalam Perhimpunan Agung UMNO ke-60 pada tahun lalu amat menawan hati. Khairy yang pernah berkata “…selagi ada pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Keris Panca Warisan akan kita hunus dan julang selama-lamanya!” dalam perhimpunan UMNO pada November 2007, telah mengubah pendirian dalam masa dua tahun, walaupun kesungguhannya menyerang Anwar sebagai sesumpah politik tidak berubah.


“Usaha” sedemikian mungkin belum sempat membawa hasil “sokongan melimpah” dari golongan sasarannya, memandangkan persepsi Khairy yang terlampau negatif pada masa dahulu, tetapi sekurang-kurangnya Khairy tidak lagi atau kurang ditonjolkan sebagai ikon UMNO-BN dengan seribu satu ciri-ciri yang negatif.


Yang dikejar tak dapat…


Persoalannya, Khairy yang menumpukan fokus politiknya di bandar, kini berdepan dengan realiti bahawa UMNO ialah parti kampung. Contoh yang amat jelas, apabila tercetusnya kontroversi penggunaan kalimah “Allah”, Khairy agak sukar untuk berdepan dengan golongan sasarannya – yang menerima maklumat dari saluran media antarabangsa.


Bayangkan, bagaimana Khairy mampu mempertahankan pendirian UMNO di dalam studio Al-Jazeera jikalau berdepan dengan pemimpin PAS, Khalid Samad? Sebaliknya, seandainya Khairy turun ke gelanggang untuk mempertahankan pendirian UMNO dengan hujah-hujah yang mengapi-apikan sentimen agama, segala-gala yang dilakukannya di depan golongan sasarannya akan termusnah dalam sekelip mata.


Demikianlah dilema yang dihadapi oleh politikus yang berusia 34 tahun ini. Lebih-lebih lagi, penampilan dirinya sebagai reformis dalam UMNO-BN masih dipertikaikan oleh mereka yang kritis/skeptikal terhadapnya. Misalnya, walaupun Khairy tidak menjejaki langkah bekas Ketuanya, Hishammuddin Hussein untuk menghunus keris atau mengeluarkan hujah berbau perkauman, tetapi ucapannya tetap dikritik kerana sekadar menggantikan “Cina” dengan “DAP”, maka segala serangannya terhadap DAP dibaca maksudnya sebagai serangan terhadap orang Cina.


Kesangsian dan keraguan komuniti bukan Melayu terhadap Khairy mencungkil pertikaian terhadapnya dalam UMNO. Sementara yang dikejar tak dapat, yang dikendong pula berciciran. Khairy gagal sebagai Ketua Pemuda yang membakar darah Melayu dengan sentimen perkauman dan agama.


MyTeam: Believe In Possibilities


Kegagalan Khairy boleh dibaca dari dua dimensi. Secara individunya, Khairy sendiri tidak memiliki integriti dan kredibiliti untuk membincangkan perubahan; dari kerangka sistemnya pula, UMNO-BN tidak mungkin berubah selagi kekuatannya bergantung kepada penguasaannya terhadap jentera negara.


Sekali imbas, Khairy pernah mencipta nama dengan MyTeam yang direkanya, mendukung semangat “Believe In Possibilities“. Khairy cuba menjaja idea bahawa “orang biasa bisa membawa perubahan”, yang kalau dibaca dalam konteks dunia bola sepak tempatan, memperlihatkan tekad untuk mengembalikan kegemilangan pasukan negara tanahair. Seandainya dibaca dalam konteks politik pula, Khairy mungkin merujuk kepada dirinya, bahawa orang biasa sepertinya (tidak seperti pemimpin UMNO sekarang yang berasal dari keluarga politik) juga mampu melakukan sesuatu dalam dunia politik.


Sementara Khairy membincangkan demokratik bola sepak, yang mana pemainnya dipilih bukan dari kalangan kroni, MyTeamsecara ironinya merupakan produk yang terhasil daripada kronisme. Siapa yang sanggup menaja rancangan sedemikian, jika Executive Producer rancangan ini bukan Khairy? Malah, adegan penggunaan helikopter untuk mengeringkan padang bola sepak dalam salah satu episod MyTeam cukup membeliakkan mata audien, mendedahkan sejauh manakah pengaruh dan kuasa menantu PM pada ketika itu.


Rancangan realiti ini akhirnya gagal membawa perubahan kepada realiti dunia bola sepak yang dicemari gejala rasuah, sebagaimana yang dijangkakan. Persoalannya, apakah Khairy kini mampu untuk membawa perubahan dalam UMNO-BN?


Transformasi UMNO-BN


Apa yang berlaku kepada individu Khairy bukan sekadar masalah perseorangan, tetapi melibatkan masalah yang lebih besar jika dilihat dalam konteks politik Malaysia. Untuk sekian lama, UMNO-BN survive dengan penguasaan dan monopolinya terhadap jentera negara, dari pasukan keselamatan, undang-undang, mahkamah, media sehinggalah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), malah Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM).


Namun, apakah UMNO-BN sedia melepaskan genggamannya terhadap institusi ini, untuk menyahut tuntutan pengundi zaman sekarang? Contoh yang paling nyata adalah apabila Khairy berdepan dengan demonstrasi “Mansuhkan ISA” yang diadakan pada 1 Ogos 2009. Apa pula pendiriannya terhadap tuntutan ini? Adakah beliau harus mempertahankan hak perhimpunan rakyat atau kekerasan FRU untuk menyuraikan perhimpunan dengan gas pemedih mata dan meriam air kimia?


Jelas, “reformis” tidak memiliki tempat dalam UMNO-BN. Pada tahun 1998, Anwar Ibrahim dipecat dari tempat kedua dalam negara dan parti. 10 tahun kemudian, bekas Menteri Jabatan Perdana Menteri, Zaid Ibrahim meletak jawatan apabila ISA digunakan terhadap pemimpin Pakatan Rakyat, wartawan dan blogger. Kini, Tengku Razaleigh pula berdepan dengan risikonya apabila bersuara lantang dalam isu royalti minyak Kelantan.


Anwar Ibrahim yang berada dalam regim UMNO-BN selama 16 tahun, mengembalikan kredibilitinya hanya setelah enam tahun meringkuk di penjara, dan tetap meneruskan agenda reformasi selepas dibebaskan. Zaid Ibrahim (gambar kanan) pula, meletak jawatan pada saat-saat di mana beliau tidak boleh berganjak lagi kerana apa yang dilakukan UMNO-BN telah melewati prinsipnya.


Tengku Razaleigh Hamzah, kini berada di pinggiran UMNO-BN, yang mungkin ditolak, atau melompat sendiri. Persoalannya, apa yang ada pada Khairy Jamaluddin?

No comments:

Semak Waktu Solat Dan Marilah Sembahyang..

Prayer Times For 6 Million Cities Worldwide
Country: