Wednesday, February 3, 2010

Permohonan Anwar tertolak di Mahkamah Rayuan!



SETELAH mendengar penghujahan pasukan peguam bela yang mewakili Datuk Seri Anwar Ibrahim pagi tadi, Presiden Mahkamah Rayuan Malaysia Tan Sri Alauddin Mohd Sherif memutuskan untuk tidak bersetuju dengan permohonan semakan kes Anwar supaya perbicaraan kes liwat Saiful Bukhari Azlan ditangguhkan.

Permohonan semakan tersebut adalah menyemak keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Anwar mendapatkan beberapa dokumen dan material penting, termasuk sampel DNA mangsa, Saiful Bukhari Azlan, rakaman CCTV, nota Doktor dan senarai saksi tuduh bagi persediaan pembelaan, daripada pasukan pendakwaraya.

Keputusan Hakim Alauddin tersebut sekaligus menghalang niat Anwar untuk mendapatkan sapina ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor yang menurut dakwaan Anwar, terbabit sebagai mendalangi mengfitnah beliau meliwat Saiful pada tahun lepas.

Bercakap kepada wartawan di lobi Istana Keadilan kemudiannya, salah seorang Peguam bagi pihak Anwar, Sankara Nair berkata, keputusan tersebut mungkin akan mengakibatkan pelbagai masalah teknikal kehakiman kelak.

“Kalau kita memulakan (perbicaraan) kes dan Mahkamah Rayuan kemudiannya mengatakan pertuduhan ini (kes Anwar liwat Saiful) adalah tidak adil dan sepatutnya digugurkan, ia akan mengakibatkan Anwar kerugian banyak perkara.”

Jelasnya lagi, anak guamannya iaitu Anwar Ibrahim terpaksa berdepan dengan perasaan malu, keluarganya mungkin trauma dan reputasinya sebagai Ketua Pembangkang serta Ketua Umum PKR akan terjejas berpunca oleh masalah teknikal antara Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Mahkamah Rayuan.

“Semua itu tidak boleh dikira lagi jika Mahkamah Rayuan menggugurkan kes tersebut,” jelasnya.

Jelasnya lagi, Hakim Alauddin sepatutnya menerima rayuan Anwar untuk menangguhkan perbicaraan tersebut sehingga segala dokumen dan material yang penting seperti yang dituntut, diberikan kepada pasukan peguam Anwar.

“Semua halangan yang dirayukan kami adalah munasabah dan (Mahkamah Rayuan) seharusnya menyelesaikan dulu penghakiman ini sebelum meneruskan perbicaraan kes tersebut.”

Bagaimana pun, pihak peguam bela akan cuba mendapatkan ketetapan akhir daripada Hakim Alauddin pada Jumaat ini.

Beliau juga mengesahkan bahawa keterangan saksi utama, Saiful Bukhari Azlan, iaitu bekas pembantu peribadi yang mendakwa diliwat oleh Anwar akan didengar seperti yang dijadualkan pada 2.30 petang ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Semalam, Hakim Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah menolak permohonan Anwar untuk menangguhkan perbicaraan kes liwat tersebut, selepas mendengar penghujahan kedua-dua belah pihak.

Sebelum itu, permohonan Anwar untuk mendapatkan beberpaa dokumen dan material yang signifikan daripada pasukan pendakwaraya untuk tujuan persiapan penghujahan bela pun diketepikan oleh Hakim Mohd Zabidin.

Turut menyertai Sankara Nair, adalah Karpal Singh serta beberapa peguam bela kanan yang lain.

Anwar yang dituduh di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan bakal menghadapi hukuman minima 20 tahun penjara, sekiranya didapati bersalah kelak.

Sankara Nair berkata, Anwar dilihat menghadapi cabaran yang lebih getir dalam perbicaraan kali ini, berbanding dengan konspirasi peringkat tertinggi pada tahun 1997 yang lalu, dengan mengfitnah Anwar sebagai peliwat sebelum beliau dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri.

No comments:

Semak Waktu Solat Dan Marilah Sembahyang..

Prayer Times For 6 Million Cities Worldwide
Country: