Kenyataan Media 18 Oktober 2010
Demonstrasi Pemuda UMNO: Bukti Malaysia tidak peduli tuntutan masyarakat dunia
Angkatan Muda Keadilan Malaysia menganggap adalah sia-sia tindakan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia untuk membantah dan mengecam tuntutan ahli-ahli Parlimen Australia yang menuntut agar perbicaraan konspirasi jahat terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim dihentikan.
Tuduhan dan perbicaraan terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim adalah satu usaha terdesak oleh sebuah rejim yang terus berusaha untuk menggenggam kuasa sedangkan rakyat sudah tidak lagi memberikan sokongan kepadanya. Justeru Dato’ Seri Najib Razak dan Barisan Nasional terpaksa mengharapkan kepada fitnah dan konspirasi.
Keterangan-keterangan yang tidak masuk akal yang dilemparkan dan usaha menghalang tertuduh mendapatkan bukti dan senarai saksi menyebabkan bukan sahaja rakyat Malaysia, malah masyarakat dunia, melihat perbicaraan itu sebagai perbicaraan sandiwara atau sham trial. Justeru khalayak dunia yang berpegang kepada nilai keadilan akan terus mengecam kezaliman ini dan menuntut ia dihentikan. Ulama terkenal telah mengkritik perbicaraan fitnah ini. Ahli-ahli Parlimen Australia menuntut ia dihentikan. Pengerusi Jawatankuasa Senat Amerika Syarikat menuntut agar Dato’ Seri Anwar Ibrahim diberikan keadilan.
Selepas ini akan lebih ramai pemimpin dari lebih banyak negara yang akan menyuarakan pendirian mereka terhadap usaha terdesak BN untuk mengekalkan cengkaman kuasa mereka. Tindakan tidak peduli terhadap tuntutan masyarakat dunia ini dan malah usaha untuk membantahnya akan hanya menjejaskan kedudukan Malaysia di mata dunia. Tuntutan agar negara lain tidak peduli dengan segala kezaliman yang berlaku di dalam negara akan hanya mengasingkan Malaysia daripada komuniti demokratik dunia. Risikonya ialah Malaysia mungkin akan tergolong sebagai negara pariah yang terpinggir dan dipulaukan.
Perjalanan kangaroo court yang membicarakan Dato’ Seri Anwar Ibrahim ini akan menjejaskan dengan teruk kredibiliti sistem kehakiman Malaysia. Syarikat-syarikat asing tidak akan mempunyai keyakinan untuk melabur dan berurusan dengan Malaysia sekiranya mereka tidak mempunyai keyakinan akan dilindungi undang-undang dan mahkamah yang adil. Perbicaraan-perbicaraan terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan skandal perlantikan hakim dalam kes VK Lingam membina keyakinan bahawa mahkamah di Malaysia boleh dimanipulasi dan diperkudakan untuk mengikut telunjuk pemerintah.
Angkatan Muda Keadilan Malaysia dengan ini menggesa semua pihak menghentikan usaha sia-sia membantah tuntutan masyarakat dunia untuk keadilan ini. Sebaliknya Malaysia perlu memberikan tumpuan dan berusaha untuk memastikan negara ini mampu menjadi sebahagian warga dunia yang bertanggungjawab di mana keadilan ditegakkan dan mahkamah tidak diperalatkan.
Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua
Angkatan Muda Keadilan Malaysia
No comments:
Post a Comment