Ayuh Anak Muda : Pertahankan kemerdekaan, Tolak Politik Perkauman !
Setelah 52 tahun Merdeka adalah amat penting untuk generasi muda Malaysia kembali melihat dan memahami semangat kemerdekaan itu sendiri. Intipati kemerdekaan terkandung dengan jelas di dalam Pemasyhuran Kemerdekaan yang menekankan aspek keadilan dan kebebasan untuk rakyat negara tercinta.
Namun setelah 5 dasawarsa, terdapat rakyat yang tidak mampu menghayati erti kemerdekaan dan menganggap merdeka membolehkan mereka untuk hidup tanpa memikirkan mengenai masa depan negara dan kepentingan bersama. Golongan ini mengambil mudah kemerdekaan yang diperolehi dengan membayar harga yang mahal oleh generasi pengasas negara ini yang mengorbankan harta benda, kebebasan dan darah.
Lebih malang apabila pemerintah sendiri lupa dan khianat kepada teras kemerdekaan yakni menjamin keadilan dan kebebasan untuk rakyat berbilang keturunan dan agama. Pemerintah hari ini bertindak sewenang-wenangnya merebut kekayaan negara untuk kepentingan diri sendiri dan kroni. Pada masa yang sama sentimen perkauman dipai-apikan sehingga menimbulkan syak wasangka, salah faham dan permusuhan antara kaum.
Pemerintah BN hari ini melabelkan sesiapa yang cuba mempertahankan hak sah semua kaum dan memupuk perpaduan sebagai pengkhianat. Walhal mereka yang khianat dengan menjual tanah dan kepentingan strategik negara kepada orang asing. Mereka juga khianat dengan mengajak rakyat untuk bermusuhan. Mereka mahu Melayu menaruh prasangka dan membenci kaum lain. Pada masa yang sama mereka mahu orang Cina, India dan Bumiputra merasa terancam dan membenci orang Melayu. Lagak mereka ini tidak ubah seperti penjajah yang mengamalkan dasar pecah dan perintah (divide and rule).
Semua ini mereka lakukan dengan tujuan yang sama seperti penjajah, iaitu untuk mengekalkan hegemoni dan penguasaan mereka. Tatkala rakyat disibukkan dengan permusuhan dan kebencian, pemerintah akan bebas merompak kekayaan negara ini. Mereka mengalihkan perhatian rakyat untuk mengekalkan penguasaan mereka dan memudahkan mereka merompak di siang hari.
Kerana itu saya menyeru rakyat Malaysia, khususnya anak muda, untuk memainkan peranan utama mempertahankan kemerdekaan negara dengan menentang sikap perkauman. Pada masa yang sama kita perlu memberi perhatian khusus kepada korupsi dan berjuang menentang amalan rasuah dan pengelewengan. Kita mesti berani untuk mengatakan tidak kepada tindakan-tindakan korup pemerintah.
Anak muda mempunyai tanggungjawab besar untuk bergerak aktif memperjuangkan semangat kemerdekaan melalui parti politik, gerakan masyarakat dan pelbagai wadah lain termasuk menyampaikan mesej melalui seni budaya dan sebagainya. Peranan paling asas yang perlu dilaksanakan ialah dengan mendaftarkan diri sebagai pengundi dan keluar mengundi dalam setiap pilihanraya.
Sebagaimana anak-anak muda negara ini bersama dalam perjuangan menuntut kemerdekaan, anak muda sekarang perlu memastikan suara, harapan dan buah fikiran mereka juga turut sama dalam membentuk halatuju dan masa depan negara ini. Ini tanggungjawab anak merdeka.
Kerana kita mahukan masa depan yang lebih baik, negara yang adil, bebas dan harmoni; kita perlu berusaha mendapatkannya. Sebagaimana para pejuang kemerdekaan menghadapi penjajah dengan berani, anak muda juga perlu menghadapi pemerintah hari ini dengan berani.
Bersama kita lakukannya !
Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua
Angkatan Muda Keadilan Malaysia
No comments:
Post a Comment