Banyak persoalan yang timbul ekoran tragedi yang menimpa Teoh Beng Hock dan keluarganya. Akan tetapi soal pokok yang perlu dijawab ialah, Bagaimanakah ianya boleh berlaku dalam satu masyarakat yang sepatutnya komited kepada mendukong Rukunegara? Rukunegara diisytiharkan pada Ogos 31, 1970 dengan penuh azam dan tekad bahawa kita akan berusaha bersama membina satu Bangsa dan Negara yang akan menjadi kebanggaan semua warga Malaysia. Rukunegara adalah satu wawasan yang dilahirkan akibat peristiwa gelap dalam sejarah negara kita. Ianya merupakan satu usaha murni bagi mengatasi sikap dan prasangka perkauman yang terpendam dalam masyarkat pada masa itu. Pemerintah dan rakyat jelata berikrar akan berpandu kepada kepercayaan dan prinsip-prinsip yang termaktub dalam Rukunegara. Penerimaan dan pengamalan Rukunegara dalam kehidupan seharian kita merupakan satu ‘kontrak sosial’ bagi menyatupadukan rakyat ke arah mencapai kemajuan dan kejayaan yang mantap dan cemerlang. Kesimpulannya, Rukunegara merupakan satu wawasan untuk membina semangat kenegaraan dan kekitaan yang berlandaskan dan dibimbing oleh satu sistem nilai yang dikongsi [shared common values].
Ianya melambangakan komitmen setiap warga untuk menguruskan kehidupan seharian -- baik dari cara pemikiran dan lebih lebih lagi dari sudut tingkahlaku dan geraklangkah kita. Sejak tahun 1970, hampir empat generasi warga telah menghafal dan melafazkan prinsip-prinsip Rukunegara. Malangnya, selepas 39 tahun Rukunegara diistiharkan, masyarakat kita masih menunjukkan tanda-tanda kurang mendukong kepercayaan dan prinsip-prinsipnya! Di mana hilangnya Rukunegara? Saya yakin Saudara Teoh Beng Hock sendiri telah menghafal dan melafazkan Rukunegara. Akhirnya ianya tiada hikmah kepada mendiang! Adakah pihak-pihak yang terlibat dalam kes ini benar-benar mendukong atau mengamalkan prinsip- prinsip Rukunegara? Adakah SPRM sebagai institusi negara yang berwibawa mendukong prinsip ‘Kedaulatan Undang Undang’ dalam mengendalikan kes ini? Adakah pegawai SPRM mendukong prinsip ‘Keluhuran Perlembagaan’ dan menghormati hak asasi Teoh ketika menjalankan sesi soal siasat yang berterusan selama lebih 10 jam? Ahli-ahli Lembaga Penasihat SPRM yang hanya senyap sahaja tanpa menunjukkan keprihatinan terhadap rasa sangsi umum atas kematian Teoh, serta keengganan mereka untuk meletak jawatan sebagai tanda protes menimbulkan rasa ragu-ragu kita. Adakah mereka telah meluluskan ‘Standard Operating Procedure’ yang digunakan oleh SPRM dengan berpandukan kepada Rukunegara untuk ‘memelihara satu cara hidup demokratik’. Prinsip Rukunegara manakah menjadi ilham kepada ahli-ahli Lembaga Penasihat SPRM dalam menunaikan amanah yang dipertanggungjawabkan? Di mana ‘Kesopanan dan Kesusilaan’ apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan…"Jadi, dia patut balik rumah. Kita pun tak menjangka ia nak terjun dari bangunan tu." Adakah ini sesuatu yang beradab atau berperikemanusiaan? Bukankah Menteri itu sendiri telah lupa kepada prinsip Rukunegara dengan membuat kesimpulan sebelum diketahui hasil siasatan? Di manakah prinsip menghormati ‘Kedaulatan Undang Undang’ apabila parti-parti politik dan para politikus mengambil kesempatan untuk mengetengahkan kepentingan puak sendiri dalam kes yang masih sedang disiasat? Keghairahan para politikus menggunakan upacara kenangan [memorial service] Teoh untuk berkempen bagi pilihanraya umum akan datang adalah sangat mengecewakan. Apakah keuntungan dalam arena politik lebih penting dari menentukan kebenaran melalui proses perundangan yang dipandu oleh Perlembagaan? Kalau diikutkan semangat Rukunegara, tentunya politik tidak dilebihkan berbanding dengan nilai sebuah nyawa. Apakah prinsip yang digunakan oleh penulis blog bagi mengeluarkan pendapat tanpa maklumat yang kukuh? Mungkin alasan mereka adalah kehilangan keyakinan terhadap institusi awam negara. Apa juga alasan, tingkahlaku mereka dalam menimbulkan syak wasangka berasaskan perkauman tidak dapat diterima di sisi lunas-lunas Rukunegara.(1) Dimanakah hilang komitmen kepada Rukunegara apabila pengarang Berita Minggu pada Julai 19 menulis:“Kenapa Menteri Besar Selangor, seorang Melayu, meragui kebolehan orang sebangsanya bertindak dengan tulus dan adil?" Bukankah institusi negara milik semua warga Malaysia dan bukan milik satu kaum tertentu?, Bukankah tujuan Rukunegara bagi ‘mencapai perpaduan yang lebih erat di kalangan seluruh masyarakatnya …’ dipinggirkan apabila media massa merangka tragedi ini dengan menggunakan kacamata etnik? Apakah niat bekas Perdana Menteri yang mengambil kesempatan ini untuk mengenepikan isu semasa tragedi Beng Hock dengan kenyataannya “Orang bukan Melayu yang menjadi tuan yang sebenar.” Sebagai seorang pemimpin negara yang disanjung tinggi, beliau seharusnya beringat kepada Rukunegara, menenangkan suasana dan memupuk perpaduan; bukan bertindak untuk memecahbelahkan lagi masyarakat . 'Kepercayaan kepada Tuhan' ... Agama manakah yang mengajar kita menjadi wira kaum masing-masing ? Agama manakah yang memhalalkan kita bertindak secara tidak ber perikemanusian ? Rumusan Kini masyarakat kita mengalami satu krisis nilai. Dimanakah hilangnya nilai-nilai murni dan sejagat yang sentiasa dilafazkan? Punca krisis ini adalah kita semua telah lupa akan asal-usul dan pengertian Rukunegara sebagai satu sistem nilai kemasyarakatan yang harus didukong dan diamalkan oleh setiap warga, pada setiap masa. Keghairahan permainan politik yang ‘kotor’ oleh semua pihak yang terlibat telah mengakibatkan kita lalai dan lupa prinsip-prinsip Rukunegara. Kita perlu mengatasi politik picisan dan sebaliknya mengawal naluri ‘primordial’ masing-masing dalam menangani apa jua isu semasa. Kita perlu berbalik kepada Rukunegara serta melipatgandakan usaha untuk memupuk kepentingan bersama sebagai Anak Bangsa Malaysia. Akhir kata, penghargaan yang tidak terhingga adalah kepada jiran keluarga Teoh, dari semua suku kaum, yang menghadiri upacara pengkebumian Saudara Beng Hock. Mereka datang dengan hati yang ikhlas bagi memberi takziah dan penghormatan terakhir kepada satu insan Anak Bangsa Malaysia. Mereka hadir, bukan untuk menonjolkan politik, ideologi atau prasangka perkauman. Mereka hadir hanya untuk menghulurkan empati. Semua warga Malaysia harus mencontohi jiran keluarga Teoh sekiranya kita betul-betul hendak merealisasikan matlamat asal Rukunegara, seperti yang dihasratkan oleh generasi masyarakat 1970-an. |
Thursday, August 6, 2009
-Tragedi Teoh Beng Hock – ke mana perginya falsafah Rukunegara?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
4 comments:
sistem pembelajaran kita telah gagal untuk membentuk rakyat berprinsip berlandaskan rukun negara sejak akhir tahun 70'an. siapakah yang patut dipersalahkan?
How have we come to this day, where utter greed for power and money have wrought so much damage to our society?
Only in Malaysia is the ideology of racism being worn like a badge of honour by certain sections of our society!!
Instead of moving forward, we are increasing sliding backwards towards the dark ages. How sad.
Salam tuan tanah. Tolong masukkan bloglist malaysia ke bloglist tuan. Terima kasih.
http://bloglistpolitik.blogspot.com/
siapa lagi yang patut di persalahkan kalau tak UMNO....
Post a Comment