Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyeru seluruh umat Islam di Negeri Selangor dan Malaysia, umumnya supaya meneruskan budaya dan sikap toleransi yang telah lama dipupuk.Beliau berkata, sikap toleransi di kalangan masyarakat adalah asas kepada pembentukan perpaduan berterusan yang dikecapi hari ini.
Katanya, sempena bulan mulia ini, rakyat diminta mendalami erti sebenar toleransi berdasarkan ajaran agama Islam.
“Pupukkanlah lagi semangat toleransi antara kita, kerana toleransi mengajar kita menerima kesusahan dan kritikan orang lain, mengajar kita berkorban untuk orang lain dan membuat kita lebih bersikap terbuka dan berlapang dada mengenai pelbagai perkara dalam kehidupan kita sebagai rakyat Malaysia yang pelbagai kaum dan agama ini,” katanya.Beliau berkata demikian dalam perutusannya sempena menyambut bulan Ramadan.
Beliau turut berharap, sikap toleransi di kalangan umat Islam kepada umat bukan Islam dapat diteruskan dan dipupuk dengan lebih baik lagi.Katanya, cara ini dapat mencerminkan bahawa Islam itu satu agama yang cantik dan damai, dan bukanlah satu agama yang mengajar umatnya bertelingkah dan bertikam lidah atau memusuhi orang bukan Islam.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan supaya rakyat tetap mengawasi kesihatan diri dan ahli-ahli keluarga daripada jangkitan kuman selsema babi atau virus influenza H1N1 yang sedang melanda negara.Selain itu, beliau menggesa rakyat meningkatkan pengawalan kendiri daripada demam denggi dan penyakit lain yang boleh mencacatkan usaha untuk melakukan ibadat dan menikmati kehidupan yang sempurna.
AMK Shah Alam juga ingin mengucapkan Selamat Menyambut bulan Ramadhan Al-Mubarak.. Mohon ampun dan maaf selama kehidupan ini.. Semoga Allah menerima puasa dan segala ibadah kita, dipanjangkan umur, dibanyakkan rezeki, sentiasa dilindungi Allah dan sihat seisi keluarga. Amin..
No comments:
Post a Comment