Pakar forensik diasak peguam wakili Selangor
UTUSAN MELALOK
SHAH ALAM 17 Ogos - Selepas diasak berkali-kali, Pakar Perunding Kanan Perubatan Forensik tidak menolak kemungkinan Setiausaha Politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock diacah-acah ke tingkap di tingkat 14, Plaza Masalam oleh individu yang ingin menakut-nakutkannya sebelum mendiang tercampak keluar.
Dr. Khairul Azman Ibrahim, 51, yang juga Ketua Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, turut menyatakan kemungkinan Beng Hock tidak sedarkan diri dan tidak memberikan sebarang tindak balas ketika terjatuh.
Semua persoalan berkisar kepada kemungkinan tersebut dinyatakan oleh Khairul ketika disoal bertalu-talu oleh peguam Malik Imtiaz Sarwar yang mewakili kerajaan negeri Selangor pada prosiding inkues siasatan kematian Beng Hock yang masuk hari ke-10 hari ini.
Beng Hock, 30, Setiausaha Politik kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram Negeri Selangor, Ean Yong Hian Wah ditemui mati di koridor tingkat lima bangunan Plaza Masalam pada 16 Julai lalu.
Kejadian berlaku selepas Beng Hock dipanggil sebagai saksi bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyalahgunaan wang kerajaan negeri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terletak di bangunan plaza tersebut.Malik yang begitu teruja mendapatkan jawapan daripada pakar berkenaan telah membuat satu lagi hipotesis (andaian) bahawa tali jam tangan yang dipakai Beng Hock telah terputus setelah direntap oleh seseorang ketika cuba menarik mendiang daripada terjatuh.Khairul yang nampak tertekan memberitahu, kemungkinan itu ada.Malik terus mengasak dengan pelbagai soalan susulan, mengatakan Beng Hock sebenarnya telah didera secara fizikal termasuk kononnya mendiang telah dicucuk dengan paku sejajar dengan kesan luka pada bahagian belakang tapak tangan.
Saksi inkues ke-10 itu turut tidak menolak kemungkinan tersebut.
Seterusnya Malik bertanya adakah terdapat kemungkinan kecederaan pada bahagian dubur Beng Hock berlaku sebelum mendiang terjatuh, boleh jadi dia ditusuk dengan benda tumpul sehingga seluarnya koyak dan diburukkan lagi selepas dia terjatuh.
Kata saksi, kemungkinan-kemungkinan tersebut juga boleh berlaku.
Mengenai apakah rumusan yang boleh dibuat ekoran mayat Beng Hock menggenggam tangan kirinya, Khairul berpendapat, ia konsisten dengan tindakan Beng Hock cuba mencapai sesuatu ketika terjatuh.
Menjawab soalan peguam Rajpal Singh bagi pihak Majlis Peguam Malaysia, saksi memberitahu, kesan calar pada tangan Beng Hock disebabkan kuku jari mendiang manakala tali pinggang yang terkoyak disebabkan hentakan ketika terjatuh.Terdahulunya, Khairul ketika disoal balas oleh peguam Gobind Singh Deo yang mewakili keluarga Beng Hock turut ditanya sama ada kecederaan yang dialami disebabkan dipukul menggunakan paip polivinil klorida (PVC), kayu cota, kayu hoki, pembaris besar atau rotan.''Kalau paip PVC sukar mendapat kesan kecederaan begini, cota bulat pula lebam tetapi tidak akan meninggalkan kesan sebegini. Jika kayu hoki, mungkin boleh tetapi jika pembaris besar ia mungkin akan meninggalkan kesan yang jelas. Sebaliknya, rotan pula akan meninggalkan kesan leper,'' kata Khairul.
Gobind juga bertanya sama ada terdapat kemungkinan Beng Hock telah dipegang beramai-ramai sebelum dicampakkan.''Sekiranya mendiang terjatuh, ia mesti di lokasi berhampiran. Tetapi jika dia jatuh jauh sedikit dari bangunan, ini seolah-olah dia meloncat hingga mengalami kecederaan di kakinya,'' jelas Khairul.Dalam pada itu, Rajpal turut tertarik dengan keterangan saksi yang mengatakan Beng Hock bukan mati disebabkan dicampak atau ditolak keluar (homisid) kerana tiada tanda-tanda pergelutan.
''Kalau berlaku pergelutan mesti pen SPRM yang tersemat di poket baju Beng Hock akan terjatuh. Selain daripada pergelutan, terjatuh dari tempat tinggi juga boleh menyebabkan pen tersebut tercampak keluar. Sebaliknya pen masih berada dalam poket mendiang,'' tanya Rajpal.
Khairul menyatakan ada kemungkinan berlaku pergelutan tetapi tiada kesan jelas.
Kata saksi, tali pinggang mungkin putus disebabkan Beng Hock terjatuh kerana jika putus akibat ditarik, ia akan tercabut.
Inkues di hadapan Koroner Azmil Muntapha Abas bersambung esok dengan mendengar keterangan Prashant.
Wallahuallam..
No comments:
Post a Comment