Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengisytiharkan perang terhadap Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak yang bercita-cita untuk merampas Selangor daripada Pakatan Rakyat.
“Serangan daripada pusat, Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) kata nak rampas, walau tidak secara langsung tapi maksudnya begitu. Najib bukan saingan kepada menteri besar, Tan Sri Khalid Ibrahim..
“Sekarang silakan Najib. Masuk sahaja dan sentuh Selangor, kita bertempur habis habis-n,” katanya.
Najib juga merupakan pengerusi perhubungan Umno Selangor dan pengerusi BN.
Anwar berkata demikian dalam ucapatama dalam konvesyen PKR Selangor di Dewan Jubli Perak Shah Alam pagi ini.
Kira-kira 1,500 perwakilan daripada 22 cabang PKR di negeri ini memberi tepukan gemuruh ekoran pengisytiharan perang itu.
Anwar yang juga ketua pembangkang berkata serangan untuk merampas Selangor, dapat dilihat daripada beberapa isu yang cuba ditimbulkan untuk melemahkan kepimpinan Khalid yang juga pengerusi PKR negeri.
“Hari-hari serang Tan Sri Khalid. Tak habis dengan isu lembu untuk hari raya korban, dia serang dengan isu kepala lembu. Kita jangan ingat (serangan) selesai. Kalau kita rasa selesai, kita silap.
“Bila PM (perdana menteri) nak serang dan rampas, dia akan guna segala jentera. Mungkin dia gunakan kata-kata yang lunak, ia manis bagaikan madu tetapi ia umpama racun bisa bagaikan hempedu,” katanya.
Katanya, perkara itu juga menjadi antara sebab utama beliau menerima tawaran Khalid yang juga pengerusi PKR Selangor untuk menjadi penasihat ekonomi negeri itu.
“Saya datang untuk bantu kerajaan negeri dan rakyat dan tidak mahu menimbulkan ketegangan politik. Saya mahu (tugas) menteri besar menjadi lebih kukuh.
“Jangan ada anak-anak kecil yang nak bermain-main di sini, saya datang kerana ada pengalaman. Kalau ada anak kecil main-main, kita tangkap dan lempar keluar,” katanya
Anwar juga berjanji untuk memperkukuhkan Pakatan Rakyat dan mempertahankan ekonomi negeri itu.
Beliau berkata, ini kerana laporan ketua audit negara menjelaskan bahawa prestasi dan rekod baik telah ditunjukkan oleh Khalid dan ia tidak pernah dicatatkan oleh menteri besar sebelum ini.
Dalam ucapan itu juga Anwar optimis bahawa kerajaan Selengor di bawah Pakatan Rakyat dapat dipertahankan dalam pilihanraya akan datang dan prestasinya juga akan jauh lebih baik daripada pilihanraya Mac tahun lalu.
“Ini markas kita, ini kubu kita. Dia datang sentuh, kita lesing dia,” katanya yang sekali lagi mendapat tepukan gemuruh hadirin.
Dalam sidang media selepas itu, Anwar yang juga ahli parlimen Permatang Pauh menjelaskan bahawa pengisytiharan perang itu adalah tindak balas terhadap pengisytiharan UMNO untuk merampas kembali Selangor.
Bagaimanapun beliau tidak menolak kerjasama antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat yang melibatkan pembangunan dan kepentingan rakyat.
“Kita tentunya akan bertahan dan serang balas (jika ada serangan). Dan pendekatan kita dari awal, dari segi kerajaan adalah kerjasama, bukan lawan. Dan kerjasama antara kerajaan negeri dan persekutuan.
“Kalau urusan pembangunan ikut lunas yang baik dan lunas demokrasi, kita ikut dan bukan bermaksud untuk melawan,” katanya.
No comments:
Post a Comment