Kepulangannya ke Malaysia, Anwar lekas menghulur salam kepada PAS dan DAP sebagai jalan awal menghidupkan semula jambatan yang telah roboh akibat keghairahan “mempertahankan prinsip” negara Islam lawan negara sekular.
Entah, untuk saya debat negara Islam dan negara sekular nampak tidak maju-maju. Bayangkanlah lamanya kewujudan PAS dan DAP itu, hujahnya masih sama dan retorikanya masih sama. Kegagalan menemukan keutamaan telah menyebabkan apa yang disebut Saidina Ali k.w. “kebaikan yang tidak tersusun akan dikalahkan oleh kebatilan yang tersusun”.
Ya, ahli politik memang senang bermadah apatah lagi yang menyentap emosi. Mereka jarang menempatkan diri melihat kesanggupan mereka (political will) untuk melaksanakan apa yang dikata.
Memang, ada jurang besar antara idealisme dan semakan realiti. Tetapi itu bukan ertinya teori tidak perlu. Ia juga tak bermaksud realiti itu lemah. Yang ada di sana ialah tuntutan agar kita berusaha.
Kita ambil saja misalnya seorang Islam yang percaya akan kesempurnaan Al-Quran dan praktis muslim dalam kehidupan seharian. Itu tidak bermakna Al-Quran harus diketepikan dan muslim itu berterusan dicop lemah.
Sebab itu, reformasi tetap juga bersandar kepada konsep kejayaan bahawa “ia bukan pengakhiran, tetapi proses”.
Dengan mengiktiraf konsep ini, maka hiruk pikuk tentang “kerjasama longgar” dalam Pakatan Rakyat itu tentu saja bisa difahami, malah dirayakan sebagai satu unsur penting dalam proses panjang reformasi.
Itupun bunyinya ideal. Aktivis parti dan simpatisan reformasi tetap juga berdepan “rasa sakit hati” dengan sindiran dan kerja keras media massa yang menggunakan peluang tersebut untuk menunjukkan bahawa “reformasi tidak mungkin berjaya”.
Apakah kita akan tewas? Ia bergantung kepada iltizam kita.
Kejayaan penting Anwar yang diakui kawan dan lawan tentu saja merundingi 2 kutub tegar dalam PAS dan DAP. Keadilan bukanlah tidak ada mereka yang tegar. Hanya saja saya melihat ramai aktivis keadilan bertumpu kepada proses, sementara aktivis PAS dan DAP bertumpu kepada pengakhiran. Ia tak ubah seperti manusia yang bercita-cita ke Amerika Syarikat misalnya tetapi tidak mahu singgah di Abu Dhabi atau Taiwan. Akhirnya minyak habis di pertengahan jalan, dan kapal terbang terhumban!
Hasilnya, Pilihan Raya Umum menyaksikan pada awalnya prinsip PKR diuji apabila PAS dan DAP cuba memberi amaran keras agar PKR memutuskan perhubungan dengan salah satu daripada mereka. Lebih separuh abad berpolitik, itu saja keputusan mudah yang mampu dicapai agaknya.
Pencapaian satu lawan satu di hampir semua kerusi semasa Pilihan Raya Umum ke-12 ternyata satu yang boleh dibanggakan. Ya, memang ada sebilangan kerusi yang menyaksikan pertarungan lebih daripada 2 penjuru. Pokoknya, rundingan yang cuba dibawa oleh Anwar mendapat perhatian wajar meskipun tidak beerti ia berlaku tanpa masalah.
PAS dan DAP rata-rata mengambil kerusi selamat. PKR meskipun mengambil kerusi terbanyak, hanya mendapat cebisan kerusi yang tidak selamat di samping beberapa belas ehsan PAS dan DAP untuk mendapat beberapa kerusi yang selamat. Namun, PRU-12 telah mencipta satu keajaiban yang memungkinkan PKR menonjol mendapat kerusi terbanyak di Parlimen.
Hakikat yang kita tidak boleh abaikan ialah, “kemenangan besar” dalam PRU-12 kepada PKR, PAS dan DAP banyak didorong oleh faktor berikut:
1) Kelemahan ketara Pak Lah
2) Wujudnya alternatif Perdana Menteri yang punya wibawa, Anwar Ibrahim
3) Dokongan protes terhadap kerajaan oleh Dr. Mahathir
4) Dokongan berterusan generasi muda kepada agenda reformasi, khususnya di bandar-bandar.
5) Strategi satu lawan satu di kerusi-kerusi Parlimen dan DUN
6) Kerjasama semasa Pilihan Raya di antara parti politik
7) Peranan masyarakat sivil sama ada sebagai kumpulan dan individu yang percaya bahawa mengundi BN khususnya UMNO bukan satu pilihan pada waktu itu.
Bantuan teknologi internet yang mempercepatkan mesej terutama di kawasan bandar.
Saya kekal mahu mengatakan bahawa struktur dan gerak kerja reformasi masih tidak begitu tersusun rapi. Pasca PRU-12, terlihat ada yang berkira-kira terasa hati dengan nasibnya tidak menjadi YB tatkala orang baru dan mungkin masih mentah dipilih rakyat menjadi YB. Ada yang mula menzahirkan bahawa mereka paling layak membantu YB-YB tertentu sambil memikirkan peluang mendapat laba daripada kemenangan yang ada sama ada berbentuk projek, jawatan dan sebagainya.
Mereka juga lupa, meskipun tahu, bahawa gerak kerja sabotaj itu juga berjalan. Mereka mungkin sangka ia hanya boleh datang daripada kerajaan pusat atau parti politik, walhal ia boleh datang dari dalam lingkaran kerajaan negeri yang baru serta orang dalam yang berlakon sebagai orang perjuangan. Inilah yang mungkin cuba disampaikan oleh Raja Petra baru-baru ini.
Lebih menakutkan, tanpa disangka, rupanya kekayaan negara menjadi perhitungan antara bukan saja kelompok politik, malah bahagian tertentu kepada mereka yang boleh mengeluarkan “surat kuning”.
Siapa kata reformasi di Malaysia satu kerja mudah?
No comments:
Post a Comment