Saya yakin kaki bakar-kaki bakar di seluruh negara yang telah membakar atau cuba membakar 7 gereja dan sebuah sekolah serta meyimbah cat di sebuah gereja lain tidak akan menghentikan aktiviti mereka setakat itu saja. Mana cukup 7+2, mereka pasti mencuba untuk melakukan banyak lagi kemusnahan hingga negara ini terbakar dan ramai nyawa terkorban. Lepas itu, puaslah hati mereka. Dan hati mereka pasti semakin puas jika letupan dan kebakaran di sana sini seperti yang sering berlaku di selatan Thai, Pakistan, Afghanistan dan Iraq itu menyebabkan perubahan senario politik negara. Mereka pasti akan mengurut dada tanda lega jika segalanya ini bakal berakhir seperti tragedi 13 Mei 1969 yang menyebabkan Gerakan, PPP dan Pas yang menjadi musuh nombor satu Perikatan ketika itu terpaksa melutut kepada parti pemerintah bagi mewujudkan Barisan Nasional.
Kebakaran di sana sini sejak empat hari lepas pasti bertujuan untuk menimbulkan keresahan orang Kristian dan bukan-Islam di negara ini. Kaki bakar-kaki bakar itu pasti berharap orang Kristian akan membalas serangan mereka dan dengan itu pertempuran sesama rakyat 1Malaysia tercetus. Dengan tindakan polis yang begitu lembab bagi menangani kebangkitan puak makhluk perosak ini, lebih memudahkan lagi mereka melaksanakan misi menghancurkan keharmonian negara.
Jika agenda mebangkitkan kemarahan orang Kristian dan bukan-Islam tidak tercapai, kaki bakar-kaki bakar ini mungkin mengalihkan perhatian kepada plan B pula - membangkitkan kemarahan orang Islam. Kaki bakar-kaki bakar ini tentu sedar sifat semula jadi orang Melayu ialah mudah mengamuk dan mereka mungkin menggunakan kelemahan orang Melayu itu untuk melihat huru hara yang benar-benar realsitik berlaku di negara ini. Justeru esok, lusa dan tulat, jangan hairan jika ada surau atau masjid yang akan dibaling bom petrol dan akhirnya musnah terbakar! Dan jika ini berlaku, orang Melayu pasti bangkit dan jika polis masih berlengah seperti sekarang, suatu yang lebih buruk pasti tidak dapat dielakkan.
Kabarnya beberapa NGO Islam secara sukarela telah mnawarkan bantuan untuk menjaga keselamatan gereja Kristian. Tapi ketika gereja diawasi, jangan alpa tentang keselamatan surau dan masjid kita. Jangan alpa kaki bakar-kaki bakar ini tidak akan berpuashati sehingga seluruh negara terbakar dan dengan itu agenda besar politik yang diilhamkan oleh pemimpin-pemimpin mereka tercapai.
No comments:
Post a Comment