Saya sangat kesian dengan nasib rakan blogger bernama Aduka Taruna ini. Mungkin gaya penulisannya sudah begitu, apa nak buat. Saya yang selalu ikuti tulisannya juga kesal mengapa dia terlanjur hingga ke tahap itu. Yang pertama orang itu sudah meninggal, yang kedua baginda adalah Raja kita. Jika orang biasa, malah pengemis yang hina dina itupun, tidak tergamak bagi orang biasa menyelitkan perkataan "mampus". Itu sudah biadab namanya!!
Hingga kini, kononnya sudah 25 laporan polis dibuat terhadap Aduka. Yang lebih menyeramkan bulu roma keluarga Aduka tentunya ialah apabila Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata kesalahan Aduka adalah sangat serius dan tidak dapat dimaafkan. Apabila ketua polis negeri berkata begitu, maka mungkin tak sampai 24 jam lagi gambar Aduka yang bergari akan disiarkan oleh TV.
Itulah Aduka, selama ini dia cuma banyak hentam kiri kanan pemimpin PR saja. Orang yang berserban besar dan tinggi ilmu agamanya itupun tergamak dihentamnya lumat dengan bahasa super-celupar, apa lagi mereka yang kurang ilmu agama. Mungkin Aduka ingat orang yang berserban besar sama dengan orang yang bertengkolok, kerana kedua-duanya manusia biasa di sisi Allah. Tapi hakikatnya di Malaysia berbeza. Kita tidak sama dengan UK. Kita tidak sama dengan Denmark. Kita tidak sama dengan Monaco yang Rajanya boleh dikritik. Mungkin Aduka terlupa peribahasa Melayu 'di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung' biar pun aku juga adalah salah seorang yang anti - feudalisme.
Aduka juga mungkin juga ingat, jika 20 tahun dahulu Dr Mahathir, UMNO, Utusan Malaysia dan Berita Harian boleh menghina Raja-Raja Melayu ke peringkat sangat mengaibkan sehingga kita yang mendengarnya boleh terkeluar air mata simpati kepada nasib Raja-Raja; dia ingat kini dia boleh mengulang sejarah lama. Sesuatu yang Aduka lupa ialah dia cuma blogger biasa, dia bukan Dr Mahathir, dia bukan Perdana Menteri dan dia juga bukan menteri-menteri yang dilindungi kekebalan kuasa. Dr Mahathir boleh bermulut celupar kerana dia melakukannya ketika dia ada kuasa. Tapi Aduka hanya seperti orang lain yang ada kuasa menulis tapi tidak dapat melindungi tulisannya sendiri.
Tapi Aduka sudah melakukannya. Dia sudah terlanjur. Harap pihak berkuasa dan Aduka dapat menyelesaikan masalah ini dengan jalan yang terbaik, Jika tidak, mungkin lepas ini kita akan kehilangan seorang blogger super-celupar yang banyak ilmu dan menulis dengan gayanya yang tersendiri untuk sesuatu tempoh yang mungkin agak panjang.
Tapi apapun dan apa hukumannya kelak (jika Aduka dihukum), saya percaya Aduka masih tetap akan bernasib baik. Jika di Thailand, orang seperti Aduka, Dr Mahathir dan menteri-menteri di zamannya dulu yang menghina institusi Raja itu mungkin sudah dihukum mati atau jika bernasib baik dipenjara seumur hidup!
No comments:
Post a Comment